Minggu 4

Internet merupakan pustaka maya yang sangat besar, tiada had dan titik penghujungnya. Guru mesti bijak menggunakan kemudahan ini untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran. Empat jenis bahan yang boleh digunakan terdiri daripada bahan audio, video, teks dan grafik. Sila sediakan bahan-bahan yang sesuai untuk pengajaran berdasarkan sukatan pelajaran Tahun 4 serta topik yang sudah diagihkan. Tugasan merupakan persediaan untuk membuat rancangan pengajaran menggunakan tapak pembelajaran pada minggu hadapan.
                       
                         i.    10 bahan audio
                        ii.   10 bahan video
                             iii.   10 bahan teks
                        iv.   10 bahan grafik
   



Tugasan amali ini dijalankan secara individu. Muat naik bahan-bahan anda ke dalam blog, dan simpan dalam bentuk folder di cakera google dan cakera liut masing-masing.  


                         i.    10 bahan audio



                        ii.   10 bahan video

Bil
LINK
1
Malaysian Traditional Clothes
2
Pakaian Tradisional
3
Pakaian tradisional cermin perpaduan kaum di Malaysia
4
1 Malaysia – Perpaduan
5
Kita Berbeza,Tapi Kita Bersama
6
Makanan Tradisional Kaum Di Malaysia
7
Pemainan Tradisional upin ipin
8
Perayaan kaum utama di Malaysia
9
Perayaan kaum utama di Malaysia
10
Kaum-kaum di Malaysia
                           

                                    iii.   10 bahan teks

Teks 1:Pakaian Tradisional

        Negara kita Malaysia mempunyai jenis-jenis kain dan pakaian tradisional yang berbagai bentuk dan warna, dari tengkolok bulu burung dan baju kulit kayu, hinggalah kain songket diraja yang antik.

        Negara kita kaya dengan warisan budaya pelbagai kaum. Antara warisan yang menjadi kebangaan kita ialah pakaian yang unik dan istimewa. Seni berpakaian dan perhiasan tradisional merupakan sebahagian daripada budaya kita. Dalam masyarakat tradisional, pakaian tradisional digunakan dalam kehidupan seharian dan waktu keramaian. Budaya ini wujud sehingga ke hari ini. Walau bagaimanapun, terdapat pakaian dan perhiasan tradisional yang diubahsuai mengikut perkembangan semasa tanpa mengenepikan nilai sentimentalnya. Adab berpakaian yang kita amalkan bertujuan mengekalkan budaya masyarakat yang berbilang bangsa. Pakaiandan perhiasan tradisional adalah merupakan warisan kebanggaan rakyat Malaysia di mata dunia.
               

TEKS 2: WARISAN KEBANGGAAN SATU MALAYSIA

Malaysia mempunyai pelbagai jenis kain dan pakaian tradisional yang berbagai bentuk dan warna. Dari tengkolok bulu burung dan baju kulit kayu hinggalah kain songket diRaja yang antik.Pada zaman dahulu penduduk pribumi memakai pakaian yang diperbuat daripada kulit kayu dan hiasan manik. Dengan ketibaan tamadun lama kain tenunan dan batik melayu oleh orang kenamaan dan kerabat diRja.Dengan ketibaan pedagang asing pakaian serta kain seperti sutera cina,pelikat dan jubah arab diperkenalkan di negara ini.Kini pakaian tradisional seperti kebaya Melayu, sari India dan cheongsam Cina masih digunakan dengan meluas di Malaysia.Budaya pemakaian tradisional semakin dilupakan.Oleh itu,budaya memakai pakaian tradisional seharusnya dikekalkan supaya tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas.Jika dilihat,kebanyakkan remaja Melayu di zaman era globalisasi ini lebih menyukai pakaian ala-ala barat.Mereka tidak sedar dengan perbuatan yang sebegitu sebenarnya sedikit sebanyak menghakis budaya pemakaian pakaian tradisional sesebuah kaum itu sendiri. Dalam erti kata lain,berbanggalah dengan pakaian tradisional kita sendiri kerana itu dapat melambangkan identiti sesebuah masyarakat itu sendiri.


TEKS 3: KEPENTINGAN MEMUPUK PERPADUAN KAUM

Perpaduan kaum berkaitan dengan cogan kata bersatu kita teguh bercerai kita roboh. Perpaduan kaum membolehkan masyarakat hidup secara bersatu hati. Pergaduhan antara kaum memberikan banyak kesan kepada negara. Banyak usaha perlu dilakukan untuk memupuk perpaduan kaum di negara kita. Pelbagai kepentingan dapat diperoleh melalui perpaduan kaum dalam masyarakat.
Perpaduan kaum menyebabkan masyarakat hidup dalam keadaan yang harmoni. Keadaan yang harmoni membolehkan masyarakat bergerak secara bebas di negara ini. Hal ini demikian kerana masyarakat tidak berasa takut dan tidak terikat dengan mana-mana undang-undang darurat. Sebagai contoh rusuhan kaum 13 Mei 1969 menyebabkan negara menjadi tidak aman. Oleh itu, semua pihak perlu menjaga keharmonian negara.
Selain itu, perpaduan kaum dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang berlaku. Masalah yang berlaku lebih mudah diatasi melalui usaha dan idea pelbagai pihak. Orang Melayu, Cina dan India yang tinggal di sesuatu kawasan perlu bermesyuarat untuk membuat sesuatu keputusan. Sebagai contoh mereka bergotong- royong untuk mengatasi masalah nyamuk aedes. Tanpa masalah yang dihadapi, negara menjadi semakin maju.
Keamanan negara juga dapat dikekalkan melalui perpaduan kaum. Keamanan negara penting bagi membolehkan negara maju dalam pelbagai bidang. Masyarakat pelbagai kaum perlulah memisahkan perbezaan politik ketika menghadapi masalah yang dihadapi. Sebagai contoh, kita perlulah bersatu hati mengatasi masalah kemasukan pendatang tanpa izin ke negara kita. Keamanan negara dapat memastikan kemerdekaan negara terus terpelihara.
Perpaduan kaum juga, membantu meningkatkan ekonomi negara. Kemajuan ekonomi negara dapat memberikan pelbagai kebaikan kepada penduduk. Dengan adanya perpaduan kaum penduduk dapat bekerja dan menambah pendapatan diri, keluarga dan negara. Sebagai contoh, semua kaum bekerjasama dalam bidang perniagaan yang memberikan banyak keuntungan. Kemajuan ekonomi negara membolekan negara kita terus maju.
Seterusnya, perpaduan kaum dapat menjaga nama baik negara. Nama baik negara penting bagi memperkenalkan Malaysia di mata dunia. Masyarakat perlu bekerjasama dan tidak menimbulkan masalah kepada negara. Sebagai contoh, pertunjukan budaya pelbagai kaum dan aktiviti rumah terbuka merupakan aktiviti yang baik. Nama baik atau imej negara perlu dipelihara oleh generasi muda.
Kesimpulannya, perpaduan kaum mendatangkan pelbagai kebaikan kepada masyarakat dan negara. Kita perlulah bersikap bagai aur dengan tebing untuk menjaga perpaduan kaum. Semua pihak perlulah menyokong segala usaha yang dilakukan kerajaan untuk mengekalkan perpaduan kaum. Sesungguhnya, tanpa perpaduan kaum, negara akan musnah.

TEKS 4: USAHA-USAHA MEMUPUK PERPADUAN

     Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Cogan kata ini menggambarkan kepentingan perpaduan kaum di Malaysia. Hal ini kerana negara kita mempunyai rakyat yang berbilang kaum iaitu kaum Melayu, Cina, India, Iban , Kadazan dan lain-lain lagi. Mereka mengamalkan cara hidup yang berbeza-beza antara satu dengan yang lain . Oleh sebab itu pelbagai usaha perlu dilakukan bagi mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia.

Ibu bapa ialah orang yang berperanan penting memupuk perpaduan dalam kalangan kaum di Malaysia. Mereka perlulah menjadi suri teladan kepada anak-anak agar nilai perpaduan dapat dipupuk sejak kecil lagi. Hal ini kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sebagai contoh ibu bapa perlulah berbaik-baik dengan jiran yang berlainan kaum dan agama. Mereka juga boleh mengajar anak-anak agar menghormati kaum dan agama orang lain. JIka hal ini dilakukan oleh ibu bapa kepada anak-anak tidak mustahil perpaduan kaum akan dapat diwujudkan di Malaysia.
Pihak sekolah juga dapat membantu mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia. Melalui pendidikan di sekolah, guru-guru dapat menerapkan nilai-nilai perpaduan. Sebagai contoh, mata pelajaran Pendidikan Islam, Pengetahuan Moral, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, murid-murid dapat diajar nilai-nilai menghormati kaum lain. Di samping itu, aktiviti kokurikulum seperti sukan, persatuan dan permainan dapat dilakukan bagi menyemai nilai perpaduan dalam kalangan pelajar. Jelaslah aktiviti pendidikan dapat membentuk masyarakat yang bersatu padu.
Nilai perpaduan juga dapat disemai melalui aktiviti kemasyarakatan. Masyarakat yang tinggal di kawasan kampung dan taman-taman perumahan perlu mengadakan pelbagai aktiviti yang memupuk perpaduan. Antaranya ialah aktiviti bergotong royong membersihkan kawasan kediaman, hari keluarga dan menyambut perayaan secara bersama-sama. Dengan cara ini mereka dapat bekerjasama dan mengenali antara satu dengan lain. Apabila aktiviti ini diamalkan sudah pasti mereka akan dapat hidup dalam suasana yang harmoni. Hal ini kerana muafakat membawa berkat.
Di samping itu, media massa turut membantu dalam usaha memupuk perpaduan kaum. Media massa seperti televisyen, radio, surat khabar dan majalah ialah alat yang penting pada masa ini. Media massa ini perlu menyiarkan rancangan dan iklan yang menggambarkan perpaduan kaum. Jika rancangan dan iklan tersebut disiarkan berulang kali, sudah pasti nilai perpaduan dapat diterapkan. Hal ini kerana masyarakat akan mudah mengikuti teladan yang dipaparkan di media massa tersebut. Sesungguhnya, media massa memainkan peranan yang penting bagi memupuk perpaduan.
Usaha memupuk perpaduan kaum oleh pihak kerajaan perlu dilakukan dari semasa ke semasa. Melalui konsep Satu Malaysia setiap kaum perlu menghormati kaum yang lain. Selain itu, kempen-kempen perpaduan hendaklah dilancarkan di seluruh negara. Aktviti Bulan Kemerdekaan . Bulan Bahasa dan Rukun Tetangga yang dijalankan oleh pihak kerajaan amat penting dalam membentuk perpaduan rakyat. Justeru, kerajaan perlukan bersungguh-sungguh dalam memupuk perpaduan dan janganlah bersikap hangat-hangat tahi ayam.
Sudah terang lagi bersuluh, sekiranya tiada langkah-langkah dilakukan untuk memupuk perpaduan kaum, tidak mustahil masyarakat Malaysia akan berpecah belah. Jika hal ini dibiarkan, sudah tentu generasi akan datang tidak akan hidup dengan aman. Apabila keadaan ini terjadi, usahlah kita sesalkan kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tak ada gunanya.

TEKS 5: CARA-CARA MEMPOPULARKAN PERMAINAN TRADISIONAL

Permainan tradisional ialah permainan yang dimainkan oleh masyarakat dahulu pada masa lapang. Antara permainan tradisional yang mendapat sambutan masyarakat ialah layang-layang, congkak dan batu seremban. Namun demikian, permainan tradisional semakin dilupakan oleh generasi muda. Oleh sebab itu, pelbagai usaha perlu dilakukan untuk mempopularkan permainan tradisional ini.
Antara cara mempopularkan permainan tradisional ini ialah kita perlu mencari maklumat tentang permainan tradisional tersebut. Setelah maklumat diperoleh , kita perlu mencuba permainan tersebut dengan ahli keluarga. Kita juga boleh mengambil bahagian dalam pertandingan permainan tradisional yang dianjurkan oleh mana-mana pihak. Sebagai contoh pertandingan permainan congkak. Dengan ini, jelaslah bahawa generasi muda perlu mempopularkan permainan tradisional negara kita.
Ibu bapa pula, perlu memberi sokongan kepada anak-anak dengan membelikan peralatan permainan tradisional. Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak menyaksikan pertandingan permainan tradisional ini. Selain itu, ibu bapa boleh membawa anak-anak melawat ke muzium dan galeri seni untuk melihat dengan lebih dekat peralatan permainan tradisional ini di samping memahami cara-cara permainan ini dimainkan. Usaha-usaha yang dilakukan oleh ibu bapa ini dapat mempopularkan permainan tradisional.
Pihak sekolah juga boleh menubuhkan kelab permainan tradisional. Dengan tertubuhnya kelab permainan tradisional ini, ahli-ahli kelab dapat menganjurkan pertandingan. Sekolah juga boleh menghantar ahli-ahli kelab mengikuti kursus permainan tradisional bagi menarik minat pelajar melibatkan diri dalam permainan ini. Peserta yang mengikuti kursus hendaklah diberi sijil penyertaan dan penghargaan. Hal ini jelas menunjukkan bahawa pihak sekolah berperanan penting untuk mempopularkan permainan tradisional.
Kerajaan perlu mempromosikan permainan tradisional melalui televisyen dan surat khabar. Usaha ini boleh dilakukan melalui kempen yang berterusan. Sebagai contoh, kerajaan mengadakan karnival pertandingan tradisional seperti Pesta Layang-layang yang diadakan di Pasir Gudang, Johor setiap tahun. Melalui Kementerian Belia dan Sukan kerajaan boleh mengadakan kursus permainan tradisional ini untuk golongan belia. Hal ini secara tidak langsung dapat mengurangkan gejala sosial dalam kalangan remaja. Usaha kerajaan ini dapat menarik kedatangan pelancong asing ke negara kita sekali gus dapat mempopularkan permainan tradisional ini.
Sementara pihak swasta pula boleh menganjurkan pertandingan permainan tradisional ini. Pihak swasta boleh menjadi penaja bagi pertandingan yang dianjurkan dengan menyediakan hadiah yang lumayan. Sebagai contoh, penganjur menyediakan hadiah berbentuk tiket pelancongan ke luar negara kepada para pemenang. Hal ini dapat menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat untuk menyertainya. Pendek kata, jelaslah bahawa pihak swasta juga memainkan peranan penting dalam mempopularkan permainan tradisional negara ini.
Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu bekerjasama dalam mempopularkan permainan tradisional ini . Usaha yang berterusan penting supaya generasi akan datang dapat mengenali dan meminati permainan tradisional. Kesannya, permainan tradisional ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.


TEKS 6: PAKAIAN TRADISIONAL ORANG MELAYU
Secara keseluruhannya pakaian Orang Melayu mempunyai banyak jenisnya. Antaranya ialah Baju Riau, Baju Belah Kebaya Panjang, Baju Melayu Cekak Musang, Baju Teluk Belanga dan Baju Kurung.
Baju Melayu terbahagi kepada tiga iaitu:
·         Baju Melayu Cekak Musang ( lelaki )
·         Baju Melayu Belanga ( lelaki )
·         Baju kurung ( perempuan dan lelaki )

BAJU RIAU
Baju berbelah ini seakan-akan baju kebaya pendek. Baju Riau juga dikenali sebagai 'Engku Puteri atau Raja Hamidah' puteri pada Raja Haji iaitu Yang Dipertuan muda Riau yang kelima dari keturunan Bugis. Pada umumnya baju tradisional Melayu untuk kaum lelaki dilengkapi dengan kain songket.

BAJU BELAH KEBAYA PANJANG
Walaupun wanita Johor terkenal dengan Baju Kurung, tetapi dalam acara majlis, mereka muncul juga dengan memakai kebaya, sebagai warisan daripada kerajaan Johor-riau. Pola baju belah panjang ini masih bersifat 'mengurungkan' anggota badan. Secara tradisi potongannya labuh sehingga buku lali. Cuma bezanya ia berbelah dan berpesak di hadapan baju ini, umumnya dipakai sebagai pakaian di luar rumah atau upacara rasmi. Baju Belah panjang ini terkenal di Melaka, Perak, Selangor dan Kedah-Perlis. Baju kurung belah ini kemudiannya dikenali sebagai 'baju panjang' dan 'kebaya panjang'. Tradisi ini berkembang menjadi kebaya dan bertangan panjang berpesak lurus di hadapan, berkekek dan berbelah dada yang ditutup dengan kancing atau kerongsang tiga.

BAJU MELAYU CEKAK MUSANG
Istilah ini berhubung langsung dengan pola lingkaran leher baju, tengkuk 'cekak' tinggi atau leher tegak empang leher. Pengertian cekak musang merakamkan imej alami untuk leher baju yang bercekak tinggi berdiri (2.5cm) melingkari leher. Ukuran ditentukan oleh lingkaran bulat yang dibuat dengan ibu jari lain yang bertemu hujungnya. Baju ini mula dipakai di Johor ketika Pemerintahan Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar.

BAJU TELUK BELANGA
Baju ini mula diperkenalkan di Teluk Belanga, Singapura dan tersebar luas sebagai ciri khas Johor khususnya pada abad ke-19. Ia juga dikatakan sejenis pakaian lelaki yang dikatakan telah direka oleh Sultan Abu Bakar pada tahun 1866 untuk meraikan perpindahan ibu negeri Johor dari Teluk Belanga di Singapura ke Johor Bahru. Walaubagaimanapun istilah ini akhirnya menjadi ciri khas masyarakat Melayu hingga disebut selengkapnya 'Baju Melayu'.

BAJU KURUNG

Baju kurung dianggap popular dan dipakai oleh lelaki dan perempuan. Perbezaannya terletak pada bahagian kocek iaitu lelaki mempunyai 3 kocek manakala perempuan hanya mempunyai 1 kocek serta perbezaan dari segi cara pemakaiannya. Pengertian kurung secara tidak langsung telah membawa erti 'mengurung atau menutup' anggota tubuh. Cara ini menepati konsep pakaian cara Melayu setelah kedatangan Islam, sehinggalah istilah kurung diertikan sebagai baju yang selesa dan longgar, labuh atau panjang. Sehingga disebut dengan berbagi-bagai nama misalnya, 'Baju Kurung Bernyawa' walaupun mempunyai pelbagai nama namun Baju Kurung telah menampilkan ciri-ciri tersendiri.


Teks 7: Anyaman Tradisi Asia yang Memikat

Daripada topi berbulu kaum asli dengan pakaian kulit kayu kepada fabrik songket beranyam emas, kepelbagaian kostum tradisional Malaysia dan tekstil yang pelbagai serta berwarna-warni.
Pada suatu masa dahulu, puak asli memakai kostum kulit kayu dan manik corak alami. Dengan kewujudan kerajaan purba, tekstil dianyam tangan yang halus dan batik Melayu yang teliti telah dipakai bangsawan Melayu. Apabila kegiatan perdagangan asing berkembang, kostum dan tekstil seperti sutera Cina, pelikat India atau sarong berpetak-petak dan jubah Arab dengan lengan yang luas, diperkenalkan ke negara kita.Sekarang pemakaian tradisional dengan kebaya baju Melayu, sari India dan cheongsam Cina masih lagi dipakai meluas.

Melayu
Sebelum abad ke-20, wanita Melayu masih lagi berkemban, hanya sarong diikat di dada, dipakai ke tempat awam. Apabila Islam menjadi lebih meluas, mereka mula memakai baju kurung yang sopan tetapi elegan. Baju kurung adalah blaus longgar selabuh lutut yang biasanya dipakai di luar skirt panjang dengan lipatan di tepi. Ia juga boleh dipasang dengan fabrik tradisional seperti songket dan batik. Biasanya, pakaian tradisional dilengkapkan dengan selendang atau tudung serta skaf. Pakaian tradisi lelaki Melayu ialah baju melayu. Baju melayu berbentuk kemeja dikenakan dengan seluar. Ia biasanya disertakan dengan sampin - sarong pendek dililit di pinggang.

Cina
Selesa dan elegan, cheongsam tradisional atau 'baju panjang' juga adalah fesyen pilihan kontemporari popular bagi wanita. Biasanya ia mempunyai kolar tinggi, butang ataupun butang katup berdekatan bahu, ketat di bahagian pinggang, dan belahan di satu atau dua sisinya. Ia biasanya dibuat daripada sutera berkilau, satin bersulam atau fabrik mewah yang lain.
India
Sari adalah pakaian India tradisional yang terkenal di seluruh dunia. Sehelai kain biasanya 5-6 ela lebarnya, sari ini dipakai dengan anak baju dengan warna serupa atau blaus yang bertentangan warnanya. Biasanya, ia dibalut pada badan dengan pallau - bahagian yang paling banyak bercorak - diletakkan pada bahu kiri. Anak baju dipakai hanya di atas atau bawah perut dan berfungsi sebagai pakaian sokongan untuk memegang sari. Dibuat daripada pelbagai bahan, tekstur dan rekaan, sari adalah sangat istimewa.
 Popular bagi wanita India utara adalah salwar kameez atau baju Punjabi; iaitu baju panjang dipakai bersama seluar dengan selendang sepadan. Kurta adalah pakaian tradisional masyarakat India untuk lelaki pada majlis formal. Ia adalah baju panjang paras lutut yang biasanya dibuat daripada kain kapas atau linen.

Baba Nyonya
Pendatang dari China yang berkahwin dengan orang Melayu menggunakan pakaian kebaya elegan, dan boleh kita kenalpasti sebagai ' haute couture' tradisional. Buatan tangan dengan skil hebat menggunakan fabrik nipis, sulaman halus yang setara dengan sulaman renda Venetia. Pièce de résistance bagi ini adalah teknik jahitan yang dipanggil tebuk lubang - bermaksud melubangkan kain. Ini melibatkan menjahit garisan luar motif bunga pada fabrik dan memotong keluar bahagian dalamnya. Apabila dilakukan dengan betul, hasilnya adalah sulaman halus seperti renda pada kolar, dada, lengan, sisi, dan dua panel segi tiga di hadapan, yang berada di bahagian pinggang, disebut sebagai lapik.

Portugis-Eurasia
Keturunan peneroka dari Portugis pada abad ke-16, pakaian Portugis-Eurasia Melaka mencerminkan warisan mereka. Dengan bertemakan warna hitam dan merah, lelaki memakai jaket dan seluar dengan tali pinggang lebar manakala wanita memakai skirt kembang beropol hadapan.

Sarawak
Dengan kepelbagaian kumpulan etniknya, negeri terbesar Malaysia, Sarawak mempunyai pelbagai jenis pakaian tradisional suku kaum. Menggunakan pelbagai rekaan dan motif asli, bahan biasa bagi puak hulu sungai atau Orang Ulu adalah kain anyam sendiri, fabrik kulit kayu, bulu dan manik. Sarawak dikenali dengan pua kumbu beranyam daripada puak Iban, songket daripada Melayu Sarawak, aksesori manik berwarna-warni, barang kemas tradisional dan hiasan kepala.

Sabah
Seperti Sarawak, Sabah juga dianugerahkan pelbagai kumpulan etnik. Setiap kumpulan memakai pakaian, hiasan kepala dan hiasan diri dengan bentuk, motif, dan skema warna tertentu berdasarkan puak dan kawasan asalnya. Namun begitu, kumpulan dengan perbezaan budaya tetapi tinggal berdekatan mungkin mempunyai persamaan dalam pakaian tradisional. Topi dan hiasan kepala yang terkenal termasuk topi anyaman wanita Kadazan Dusun, dastar anyaman Bajau dan hiasan kepala lelaki Lotud, yang menunjukkan bilangan isterinya dengan bilangan bucu lipatan.

Orang Asli

Orang Asli Semenanjung Malaysia yang secara tradisinya tinggal di dalam hutan, dahulunya pernah memakai pakaian daripada bahan semula jadi seperti kulit kayu terap, dan skirt rumput. Hiasan termasuk hiasan kepala yang dianyam kemas dengan corak halus dibuat daripada jaluran daun.


Teks 8: Kepentingan permainan tradisional
Pada era pascamodenisasi ini, rakyat kita telah menikmati pelbagai kemajuan dan pembangunan fizikal yang pesat. Ironinya pelbagai warisan nenek moyang kita semakin dipinggirkan oleh masyarakat kita, terutamanya golongan muda. Salah satu khazanah kebudayaan kita yang semakin luntur dalam gaya hidup yang moden ini  ialah permainan tradisional kita yang terdiri daripada  congkak, wau, gasing dan sebagainya. Oleh itu,  generasi muda perlu disedarkan tentang kepentingan permainan tradisional  kepada bangsa dan negara.
Salah satu kemaslahatan permainan tradisional ialah permainan ini merupakan kebanggaan aset budaya bangsa Malaysia. Hal ini demikian kerana permainan tradisional adalah ciptaan nenek moyang kita yang melambangkan ciri-ciri kebudayaan bangsa kita. Permainan tradisional tidak boleh disamakan dengan permainan elektronik atau permainan siber. Alat permainan tradisional juga merupakan satu seni budaya yang amat unik dan terunggul.  Sebagai contohnya, wau bulan telah dihias dengan kertas warna-warni  yang dilukis dan digunting dengan cantik nian. Jika permainan  tradisional kita telah lenyap di bumi kita, apakah kebudayaan yang dapat memperlihatkan maruah bangsa kita? Ingatlah peribahasa, “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.”
Tambahan pula, permainan tradisional juga merupakan satu daya tarikan yang signifikan dalam industri pelancongan. Selain menyaksikan pemandangan alam semula jadi yang indah dan menikmati juadah yang lazat di negara kita, para pelancong pasti ingin menghayati corak budaya kita yang berwarna-warni. Lantaran itu, permainan tradisional berupaya memukau hati pelancong yang melawat ke Malaysia. Seperti peribahasa, “Tak kenal maka tak cinta“, setelah diperkenalkan kepada pelancong, lazimnya mereka akan berminat dan turut bermain dengan seronoknya terhadap permainan tradisional. Rentetan daripada itu, hotel- hotel lima bintang dan pusat peranginan yang terkemuka  di negara kita patut menyediakan tapak dan alat permainan tradisional kepada pelancong asing kita. Hal ini bukan sahaja dapat memangkinkan industri pelancongan tetapi juga memperkenalkan kebudayaan kita kepada bangsa lain, seperti peribahasa, “serampang dua mata.” Ternyata, permainan tradisional merupakan salah satu tarikan dalam industri pelancongan.
Lebih-lebih lagi, permainan tradisional dapat mengukuhkan hubungan masyarakat kita yang berbilang bangsa dan sentiasa sibuk mengejar kekayaan duniawi. Dengan  adanya permainan tradisional itu, pelbagai kaum dalam masyarakat kita dapat bermain bersama secara beramai-ramai. Tamsilnya, terdapat kawasan lapang yang sering dibanjiri oleh orang ramai untuk bermain layang-layang.  Peminat itu tidak mengira bangsa dan budaya tetapi bersama-sama memperlihatkan lelayang yang beraneka corak . Mereka juga berkongsi idea dan pendapat tentang lelayang mereka.  Tidak hairanlah akan tercetusnya suasana yang muhibah dan harmoni dalam masyarakat. Mereka turut melegakan tekanan dan menghabiskan masa bersama dengan keluarga sendiri.  Senario ini jauh lebih baik daripada  individu yang asyik bermain permainan komputer di kamar sendiri tanpa berinteraksi dengan orang lain.
Natijahnya,  permainan tradisional  merupakan khazanah warisan yang tidak ternilai. Oleh itu generasi muda bertanggungjawab untuk melestarikan khazanah ini daripada  generasi kepada generasi, seperti  peribahasa, “Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.” Walaupun zaman beredar,  tetapi segala  warisan yang baik dan sejati perlu diperkukuh supaya bangsa kita tidak digelar sebagai etnik yang tidak berakar umbi dan sentiasa terhanyut  oleh arus globalisasi.



Teks 9: Cara-cara untuk Mengembangkan
Permainan Tradisional di Negara Kita

Dasawarsa ini, negara kita sedang menempuh arus globalisasi dan modenisasi  sehingga mengalami pembangunan yang pesat sekali. Sehubungan dengan itu, permainan tradisional turut dipandang enteng dan dikesisikan oleh masyarakat kita daripada arus perdana.  Hal ini berkait rapat dengan perkembangan permainan komputer dan permainan siber yang popular dalam kalangan remaja dan belia kita. Adakah kita sanggup membiarkan khazanah kebudayaan kita ditelan dalam pengedaran zaman dan lenyap dalam bumi kita? Tepuk dada tanya selera.  Sebelum nasi menjadi bubur, kita perlu mencari pendekatan yang efisien untuk membangkit permainan tradisional di negara kita semula, seperti peribahasa, “di mana batang terguling, di situ cendawan tumbuh.”
Sesungguhnya,  Kempen Cintai Permainan Tradisional  merupakan salah satu alternatif yang ampuh untuk mengembang  permainan tradisional di negara kita. Kempen ini perlu dijalankan oleh Jabatan  Kebudayaan dan Kesenian Negara  secara besar-besaran dengan kerjasama pihak media massa, terutamanya media cetak dan media elektronik, iaitu surat khabar dan pihak televisyen. Pihak berkenaan perlu menyiarkan dokumentari  dan rencana untuk memperkenalkan permainan tradisional  di negara kita, seperti  wau, gasing, congkak dan lain-lain.  Selain memperkenalkan sejarah dan cara bermain,  pihak media perlu menyedarkan orang ramai tentang kepentingan permainan tradisional terhadap masyarakat dan negara.  Pelbagai aktiviti harus dianjurkan sempena kempen tersebut, seperti  peraduan karang-mengarang,  pameran, dan peraduan poster dan sebagainya, bak kata peribahasa, “ tak kenal maka tak cinta.”  Lantarannya golongan muda pasti terpengaruh oleh kempen tersebut  dan berminat terhadap permainan tradisional kita.
Selain itu, pihak sekolah perlu menjadikan permainan tradisional sebagai kegiatan kokurikulum di sekolah. Sehubungan dengan itu, pihak sekolah harus digalakkan supaya menubuhkan kelab atau persatuan permainan tradisional.  Berpaksikan kelab permainan tradisional, pelajar boleh  diajar tentang cara membuat alat permainan, cara bermain dan lain-lain lagi.  Setelah disuntik ilmu itu, pelajar  akan berminat  untuk melibati permainan tradisional tersebut.  Generasi muda merupakan tunjang yang bakal mewarisi pucuk kepimpinan dan mewarnai masyarakat kita kelak. Nescaya pelibatan pelajar  secara langsung dalam permainan tradisional dapat memajukan permainan tersebut di tanah air kita daripada membiarkan seni budaya kita terus lenyap dan pupus begitu  sahaja. Bak kata peribahasa, “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”, atas komitmen pihak sekolah, putera-puteri yang sedang berjuang dalam medan ilmu pengetahuan dapat bergiat aktif dalam permainan tradisional untuk melegakan tekanan  sebagai kegiatan riadah.
Sementelahan pula, pertandingan merupakan inisiatif yang dominan untuk membangkit permainan tradisional dalam masyarakat kita.  Hal ini demikian kerana sebagai  fitrah,  manusia  memang suka bertanding dan berlaga. Lantarannya, pihak Kementerian Kebudayaan dan Kesenian Negara, Jabatan Pelancongan Malaysia dan agensi kerajaan boleh bergabung dengan korporat seperti Proton, TM Net dan Maxis untuk menganjurkan pertandingan permainan tradisional dari peringkat sekolah, daerah, kebangsaan hingga antarabangsa.  Salah satu contoh yang terbaik ialah Festival Layang-layang Antarabangsa di Pasir Gudang , Johor. Pertandingan layang-layang itu berjaya menarik peminat-peminat  permainan tersebut dari seluruh dunia untuk mengambil bahagian. Hal ini berjaya mempromosikan pelancongan dan permainan tradisional kepada pelancong asing, selaras dengan peribahasa, “menyelam sambil minum air”.
Secara intihanya, permainan tradisional harus dilestarikan supaya tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas. Jika semua pihak bersikap acuh tak acuh dan hanya melepaskan batuk di tangga, khazanah budaya kita pasti akan lenyap di bumi kita. Ingatlah peribahasa, “Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.”



TEKS 10: FAKTOR PERMAINAN TRADISIONAL DIPINGGIRKAN

PENDAHULUAN:-
  • Permainan tradisional warisan masyarakat Melayu semakin dipinggir oleh generasi muda dewasa ini. Sesetengah daripada mereka langsung tidak mengetahui kewujudan permainan tradisional ini yang pernah popular sedikit masa dahulu.
  • Masyarakat dahulu menjadikan permainan tradisional sebagai wahana memupuk semangat ukhwah antara penduduk di samping mengisi masa senggang dengan kerja buat yang lebih berfaedah.
  • Antara permainan tradisional yang begitu sinonim dengan kehidupan masyarakat tradisi kita ialah gasing, congkak, sepak raga, naik wau, ketingting, batu serembang, buah guli, lompat tali, galah panjang, coh, bola awa dan lain-lain.
  • Banyak faktor yang menyebabkan permainan tradisional warisan nenek moyang kita semakin dipinggir oleh generasi hari ini, antaranya:-

FAKTOR-FAKTOR PERMAINAN TRADISIONAL DIPINGGIRKAN:-
  1. Pengaruh besar yang dibawa oleh pelbagai permainan yang moden dan sofistikated - lebih relevan dengan perkembangan kemajuan sains dan teknologi; - permainan komputer, permainan video, mesin kawalan jauh, permainan robot, dan seumpamanya.
  2. Sikap dan pandangan masyarakat hari ini yang beranggapan permainan tradisional sudah ketinggalan zaman dan hanya layak berada di muzium-muzium.
  3. Semakin kurang  jumlah pejuang atau aktivitis yang aktif memperjuangkan nasib permainan tradisional; jika ada pun sekadar hidup segan mati tak mahu.
  4. Pihak-pihak bertanggungjawab sama ada di pihak kerajaan, NGO mahupun swasta tidak menunjukkan komitmen yang tinggi untuk memartabatkan seni permainan tradisional sebagai khazanah budaya dan bangsa negara.
  5. Generasi muda tidak atau jarang-jarang didedahkan dengan keistimewaan dan kelebihan permainan tradisional sehingga menyebabkan mereka gagal mengenali budaya sendiri; tak kenal maka tak cinta.
  6. Pemikiran masyarakat moden hari ini lebih ke arah mengumpulkan harta kekayaan dan kejayaan anak-anak dalam pelajaran; Mereka menghadapi kekangan masa untuk aktiviti-aktiviti kemasyarakatan, makan angin apatah lagi untuk bergiat cergas mengisi masa dengan bermain permainan tradisional yang memakan masa yang lama.
  7. Kesukaran untuk mendapatkan peralatan permainan tradisional, bersaiz besar, harga yang mahal juga menjadi faktor kenapa permainan tradisional semakin dilupakan.
  8. Terlalu kurang penganjuran pertandingan permainan tradisional oleh pihak-pihak bertanggungjawab menyebabkan permainan jenis ini semakin lesu di bumi sendiri; Penganjuran permainan tradisional dari peringkat rendah hingga ke peringkat dunia akan lebih mempopularkan permainan tradisional. Contohnya permainan sepak raga yang diberikan sedikit inovasi dan dikenali dengan permainan sepak takraw telahpun popular sehingga ke peringkat antarabangsa.
  9. Penggiat-penggiat permainan tradisional di desa serta kampung tidak mendapat apa-apa bantuan dan dukungan daripada pihak kerajaan, apatah lagi daripada pihak swasta yang hanya bergerak atas dasar keuntungan perniagaan semata-mata.
  10. Institusi-institusi pendidikan tinggi seperti IPTA dan IPTS dingin serta beku dalam usaha menubuhkan jabatan pengajian yang bertanggungjawab mengkaji asal usul sejarah, melatih siswa-siswi dan memerkasakan segala bentuk seni budaya turun-temurun agar tidak ditelan kemajuan.

PENUTUP:-
  • Banyak perkara yang perlu dilakukan jika kita tidak ingin melihat satu persatu khazanah warisan berharga nenek moyang rebah menyembah bumi dek kelekaan anak watan sendiri.
  • Sebenarnya warisan tinggalan nenek moyang ini amat berharga dan boleh dijadikan aset penting membantu meningkatkan pendapatan negara jika dapat dieksploitasi dengan bijak, contohnya melalui industri kraf tangan, industri pelancongan dan industri hiliran lain.
  • Melalui penubuhan kelab dan persatuan yang berasaskan permainan tradisional di sekolah, IPTA dan IPTS dapat memupuk pelajar cinta akan permainan ini sejak awal usia lagi.
  • Permainan tradisional yang bijak diberikan inovasi mampu menjadi simbol unik negara, dan menjadi kebanggaan semua.
  • Semua pihak tidak kira peringkat usia, pangkat tinggi atau rendah, perlu bahu-membahu dalam usaha mempopularkan permainan tradisional sepanjang zaman dan janganlah kita hanya memandang sepi akan usaha ini. Genggam bara api biar sampai jadi arang.

     
                 iv.   10 bahan grafik




 

Pakaian tradisional bagi kaum Cina lelaki ialah samfu.
Manakala pakaian tradisional bagi kaum Cina perempuan ialah ceongsam dan jubah panjang.

Kaum India lelaki memakai doti. 
Manakala kaum India perempuan pula memakai sari.

Kaum Melayu lelaki memakai baju Melayu. 
Manakala kaum Melayu perempuan pula memakai baju kurung.

PERMAINAN TRADISIONAL TENGTENG

PERMAINAN CONGKAK

WAU BULAN

GASING 
  


No comments:

Post a Comment